"MSSM Segamat minta peruntukan (RM) 5 ribu, saya bagi (RM) 10 ribu." Ujar Y.B. Datuk Haji Ayub Rahmat (ADUN Kemelah) ketika berucap merasmikan Kejohanan Balapan & Padang MSSM Segamat Ke-40 yang telah berlangsung dari 4 hingga 7 April 2011 di padang SMK Seri Kenangan (SMKSK), Batu Anam.
Walau bagaimanapun beliau berharap agar MSSM Segamat bersabar menanti peruntukan tersebut. "Janganlah pula hantar surat amaran (kepada saya) kerana lambat bayar (menyalurkan peruntukan)." Ujarnya lagi. Harapannya itu disampaikan kerana terdapat sekolah-sekolah di daerah ini yang telah pun menghantar kepadanya surat amaran pertama dan kedua berhubung kelewatan pengagihan peruntukan yang diluluskannya.
Dalam ucapan perasmiannya, Datuk Ayub Rahmat telah berpesan kepada para pelajar supaya menggunakan peluang yang diberi untuk melakukan yang terbaik dalam pelbagai bidang terutamanya bidang akademik dan kokurikulum. Buangkan sifat terlalu merendah diri sebaliknya bersaing secara baik serta tonjolkan potensi dan kebolehan masing-masing.
Sebelum itu, ketibaan Datuk Ayub Rahmat telah diiringi oleh bunga manggar dan paluan kompang. Hadir sama adalah Haji Sazali Ahmad (PPPD Sains & Matematik) yang mewakili Encik Yasiran Maskom (PPD Segamat) dan Haji Anuar Hashim (PPPD Hal Ehwal Murid). Turut hadir, Pengetua dan Guru Besar sekolah-sekolah daerah Segamat.










